Palestin Perjuangan Kita

Saturday, September 12, 2009

Tazkirah Subuh : Doa


Tazkirah subuh pada 12 September yang disampaikan oleh Y.Bhg Us. Izhar, pensyarah UIAM menyentuh mengenai tajuk Doa.

Firman Allah S.W.T bermaksud "Dan berdoalah kepada-Ku (Allah), nescaya Aku akan perkenankan doamu"

Jenis doa menurut Imam Al-Ghazali:
  1. Duaa'ul Masalah : Doa yang biasa dilakukan apabila ditimpa masalah atau memohon sesuatu hajat.
  2. Duaa'ul Ibadah : Doa sepanjang masa kepada Allah sebagai ibadah. Semua ibadah adalah termasuk dalam doa ibadah.

Fadilat Doa:
  1. bukti ketaatan kepada Allah
  2. menghilangkan takabbur dalam hati
  3. menjadi ibadah
  4. menenangkan hati
  5. menjauhkan kemurkaan Allah
  6. menolak bala

Syarat doa yang diterima:
  1. yakin bahawa Allah menerima doa
  2. memohon hanya kepada Allah dan bukan kepada selainnya
  3. hanya berdoa untuk kebaikan diri dan orang lain. dilarang mendoakan keburukan ke atas orang lain (kecuali musuh Allah)
  4. baik sangka dengan Allah, bahawa Allah pasti akan memakbulkan doa kita sama ada secara segera, ditangguhkan ke satu waktu tertentu, ataupun diberikannya semasa di syurga nanti.
  5. menghadirkan hati
  6. memelihara taqwa (menjaga akhlak, makanan, menjauhkan perbuatan haram dsb)
  7. menzahirkan kekerdilan diri di hadapan Allah semasa berdoa.

Adab berdoa:
  1. Mula dengan memuji Allah
  2. Selawat ke atas Rasulullah S.A.W
  3. Bersungguh-sungguh
  4. Tenang dan tidak gopoh gapah
  5. Mengulang 3 kali
  6. Mengadap kiblat
  7. mengangkat tangan
  8. berwuduk
  9. cuba menangis
  10. rendahkan suara

Ceramah Nuzul Quran



Ceremah sempena peristiwa Nuzul Al-Quran telah diadakan di Surau Al-Mizan pada 9 September 2009. Penceramah jemputan adalah Y.Bhg. Profesor Madya Dr Zulkifly Mohamad Al-Bakri, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PM Dr. Zulkifly memulakan ceramahnya dengan menceritakan peristiwa turunnya wahyu pertama ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan di Gua Hira'. Kisah ini beliau rujuk daripada Tafsir Al-Maraghi.

Pengajaran daripada kisah turunnya wahyu pertama:

  1. Untuk memimpin manusia, kematangan adalah unsur penting. Tidak boleh sekadar semangat sahaja. Kerana itu, Nabi Muhammad menerima wahyu pertama yang menjadi tanda perlantikannya sebagai Pesuruh Allah pada usia matang 40 tahun.
  2. Peristiwa Nabi S.A.W beruzlah di Gua Hira', tidak bermakna mengasingkan diri daripada masyarakat menjadi tuntutan utama kepada umat Islam. Sebaliknya umat Islam amat dituntut bergaul dalam masyarakat dan melaksanakan amar makruf nahi munkar.
  3. Umat Islam perlu menjana pemikiran untuk memajukan dan meninggikan martabat agama. Elakkan: a)pemikiran yang mati dan b)pemikiran yang mematikan.
  4. Peristiwa Nabi S.A.W dipeluk Jibril sehingga sesak nafas Baginda sebanyak 3 kali menunjukkan bahawa menuntut ilmu mestilah serius, bersungguh-sungguh dan tidak boleh secara santai-santai.
  5. Keistimewaan Nabi S.A.W. tidak tahu membaca membawa hikmah yang besar. Ini menutup ruang untuk para musuh islam dahulu dan sekarang mendakwa agama Islam ini adalah hasil janaan pemikiran Baginda hasil pembacaan Baginda terhadap kitab-kitab terdahulu.
  6. Umat Islam perlu menghidupkan semula budaya "IQRA'" dalam kehidupan sekiranya ingin berjaya dan dipandang mulia oleh manusia. Budaya ini menjadi kunci kebahagiaan dunia dan akhirat.


Sunday, September 6, 2009

Sujud Tilawah



Semasa bertadarus, banyak ayat sajdah yang kita temui. Apabila sampai sahaja pada ayat sajdah, semua ahli tadarus melakukan sujud sajdah (atau nama lainnya sujud tilawah).

Penerangan mengenai sujud tilawah yang diambil daripada www.islamweb.net adalah seperti berikut:

Adapun sujud tilawah itu satu kali sujud, sunat dilakukan ketika membaca salah satu ayat sajdah. Apabila tiba ke ayat tersebut, disunatkan sujud, sama ada dalam solat ataupun luar solat. Sebahagian ulama mensyaratkan berwuduk, manakala sebahagian lagi tidak mensyaratkannya. Punca khilaf adalah; adakah sujud tilawah dikira solat ataupun bukan solat. Ulama yang mengatakan ianya solat maka mereka mensyaratkan wuduk. Sebaliknya ulama yang mengatakan ianya bukan solat, maka mereka tidak mensyaratkan wuduk.

Kifiatnya: Dengan cara terus sujud dan membaca bacaan sujud yang ma’thur:

"سجد وجهي للذي خلقه وصوره وشق سمعه وبصره بحوله وقوته فتبارك الله أحسن الخالقين"

Pelaku membaca takbir semasa turun untuk sujud dan semasa naik daripada sujud (takbir intiqal) tanpa memberi salam.


Tazkirah Subuh : Al-Quran Panduan Sempurna



Subuh Sabtu 8 Ramadan membawakan ceramah oleh Y.Bhg Ustaz Khairul Anuar mengenai Al-Quran Panduan Sempurna.
Penceramah mengulas mengenai penurunan Al-Quran pada bulan Ramadan, yang menjadi hidayah dan panduan kepada seluruh alam, terutamanya orang-orang yang bertaqwa.
Penceramah seterusnya mengajak para jemaah menghayati Al-Quran, mengamalkan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangan Allah yang termaktub dalam Al-Quran.
Ustaz Khairul juga mengingatkan para jemaah agar mengambil keseluruhan Al-Quran sebagai panduan, dan bukan sebahagian-sebahagian.