Palestin Perjuangan Kita

Wednesday, December 16, 2009

Ceramah Us Mohamad Nidzam Sempena Maal Hijrah


Sempena sambutan Maal Hijrah, Surau Al-Mizan Putrajaya telah menjemput Y.bhg Ustaz Mohamad Nidzam Abdul Kadir (UIAM) untuk menyampaikan ceramah.

Us Nidzam adalah penulis buku terkenal "Fiqh Berinteraksi Dengan Non Muslim".

Dalam ceramah beliau, Us Nidzam telah memberikan 3 aspek hijrah yang jarang disentuh dalam mana-mana ceramah sempena Maal Hijrah:

a. Hijrah ilmu - hijrah ini mengajak kita mengetahui dalil/nas bagi setiap amalan ibadat yang dikerjakan, dan bukan sekadar ikut-ikutan semata-mata.

b. Hijrah amal - kita perlu mengamalkan ilmu yang ada. Janganlah kita sekadar belajar dan tahu, tetapi tidak beramal. Kita juga perlu menyusun keutamaan ibadah daripada wajib, sunat dan harus. Jangan pula kita bersusah payah mengerjakan ibadah sunat, dalam masa yang sama kita meninggalkan yang wajib. Ataupun kita bersusah payah mengerjakan ibadah harus yang bercampur-baur dengan dokongan adat, tetapi dalam masa yang sama meringankan/meninggalkan amalan sunnah yang memang bertunjangkan hadis-hadis sahih.

c. Hijrah akhlak - kita perlu matang dalam menerima perbezaan pandangan dalam agama. Ulama terdahulu sentiasa berlapang dada dalam menerima pendapat imam-imam yang lain. Ini kerana mereka memahami bahawa setiap pendapat/fatwa yang dikeluarkan adalah berdasarkan dalil.


Kisah kematangan ilmu imam/ulama terdahulu:

Kisah 1
Dalam mazhab Imam Syafie, qunut adalah sunat. Jika tidak qunut, sunat pula diganti dengan sujud sahwi. Satu ketika imam Syafie mengimamkan solat subuh di salah sebuah bandar yang disinggahinya. Imam Syafie tidak membaca qunut. Sebelum salam, dia tidak pula sujud sahwi. Hairan dengan tindakannya, para jemaahpun bertanya. Imam Syafie menunjukkan ke arah kubur Imam Abu Hanifah dan berkata, "aku tidak qunut dan sujud sahwi sebagai penghormatanku kepada pemilik kubur ini".

Dalam Mazhab Hanafi, qunut tidak disunatkan dalam solat subuh.

Kisah 2
Apabila khalifah mahu menjadikan kitab Almuwatto' sebagai sumber perundangan rasmi selepas Al-quran, Imam Malik merayu kepada Khalifah agar tidak melaksanakannya. Beliau menyatakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. bertebaran di muka bumi dan pendapat mereka berbeza-beza dalam perkara-perkara furu'. Dalam masa yang sama, mereka semua berada atas hidayah Allah kerana masing-masing "berguru" secara terus dengan Rasulullah S.A.W.

Sememangnya perbezaan pendapat/pandangan dikalangan para sahabat memberikan kita rahmat yang tidak terhingga. Kita boleh memilih mana-mana pendapat yang paling sesuai dengan keadaan dan kemampuan diri kita.

Kisah 3
Semasa Imam Hassan Al-Banna memasuki masjid untuk solat, beliau mendapati muazzin (bilal) sedang bertengar dengan seorang makmum. Puncanya adalah simuazzin berselawat semasa sebelum dan selepas solat. Simakmum ini pula mendakwa perbuatan itu adalah bid'ah. Imam Al-Banna terus pergi ke saf pertama lantas melaungkan iqamah. Kelam kabut jemaah masuk ke saf.

Selesai solat, Imam Hassan Al-Banna menerangkan bahawa pertelagahan sesama muslim adalah haram, sedangkan solat itu wajib. Begitulah kematangan ilmu Imam Hassan Al-Banna, matang juga dalam fiqh awlawiyyat.

Saturday, November 28, 2009

Baraan Takbir Bermula!





Baraan Takbir terus dimulakan pada malam hari raya selepas isyak. Pada malam hari raya, takbir dari rumah ke rumah ini difokuskan kepada warga apartment. Pada keesokan malamnya (hari raya 1), kawasan P8B pula yang menjadi tumpuan. Sebanyak 7 buah rumah telah diziarahi pada malam berkenaan. Malam hari raya ke-2, rombongan takbir telah bertandang ke P8E dan P9.
Di setiap rumah yang disinggahi, tuan imam akan mengepalai takbir dan disusuli dengan doa selamat untuk seisi keluarga.
Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan silaturrahim antara sesama ahli kariah dan insya-Allah akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Jamuan Aidil Adha



Surau Al-Mizan telah mengadakan jamuan hari raya aidil adha untuk semua jemaah jumaat 10 Zulhijjah 1430H. Jamuan diadakan sejurus selepas solat jumaat.
Semua jemaah jumaat berpeluang menikmati hidangan daging korban, lembu dan kambing, yang baru sahaja dikorbankan pada sebelah pagi.
Alhamdulillah dengan izin Allah dan seterusnya kerjasama erat semua anggota kerja korban, jamuan berjaya disediakan dengan sempurna.

Ibadah Korban Kariah Surau Al-Mizan P8









Ibadah korban Surau Al-Mizan P8 telah diadakan sejurus selepas solat hari raya. Walaupun hari jumaat dan masa yang terhad, ibadah ini telah dapat dijalankan dengan sempurna.
Sebanyak 4 ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan pada hari tersebut. Proses penyembelihan, melapah dan pembahagian daging korban berjalan lancar berkat gotong- royong ahli kariah, terutamanya warga apartment lokasi korban diadakan.
Selain dibahagikan secara mentah kepada penama korban dan penduduk kariah, daging korban juga dihantar ke Rumah Anak Yatim Darul Fuqaha'.
Sebahagian daging pula dimasak dan dijamu kepada semua jemaah selesai sahaja solat jumaat.
Surau Al-Mizan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan ibadah ini.

Selamat Hari Raya Aidil Adha



Hari Raya Aidil Adha 1430 H telah ditetapkan pada 27 November 2009, bersamaan hari Jumaat 10 Zulhijjah 1430H.
Khutbah Hari Raya telah disampaikan oleh Imam 1 Surau Al-Mizan Presint 8, Y.Bhg. Ustaz Shahrudin bin Zaini.
Seramai 200 jemaah terdiri daripada ahli kariah P8 telah menunaikan solat sunat hari raya yang bermula jam 8.30 pagi.

Saturday, November 21, 2009

Anugerah Surau Idaman Putrajaya



JAWI Putrajaya dengan kerjasama Surau Al-Mizan Presint 8 Putrajaya telah menganjurkan Anugerah Surau Idaman untuk surau-surau Putrajaya pada 21 November 2009.
Majlis telah diadakan selepas maghrib di Surau Al-Mizan Presint 8. Majlis dirasmikan oleh Y.Bhg. Tn Hj Md. Ali bin Sarbini, Imam Besar Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin.
Seramai 200 orang tetamu dari surau-surau seluruh Putrajaya telah bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.

Keputusan penerima anugerah adalah seperti berikut:
Tempat Pertama : Surau Putra Al-Amin
Tempat Kedua : Surau Ar-Rahman
Tempat Ketiga : Surau Al-Istiqlal
Saguhati 1 : Surau Al-Furqan
Saguhati 2 : Surau Ar-Raudhah
Saguhati 3 : Surau Al-Mizan

Tahniah kepada semua penerima anugerah.

Tuesday, October 20, 2009

Kenduri Haji




Tn Hj Omar Yaakop, naib pengerusi surau, suatu hari memanggil beberapa orang JK. Beliau mohon pandangan dan bantuan. Adik beliau, Ridzuan, akan menunaikan haji tahun ini. Hj Omar bercadang untuk mengadakan kenduri di rumahnya. Khemah akan disewa untuk menampung semua tetamu.
Namun rakan-rakan JK memberikan pandangan yang lebih baik. Kenapa tidak diadakan sahaja kenduri di surau? Yasin, tahlil dan doa selamat boleh dibuat selepas maghrib. Semua jemaah termasuk saudara mara boleh makan lepas isyak.
Idea diterima oleh Hj Omar. Hasilnya, pada malam 20 oktober 2009, kenduri berkenaan selamat dijalankan.
Semoga En Ridzuan dan keluarga memperoleh haji mabrur insyaallah.

Saturday, October 17, 2009

Sambutan Hari Raya





Surau Al-Mizan Presint 8 telah menganjurkan jamuan sempena hari raya aidil fiti pada 16 Oktober 2009.

Jamuan diadakan 2 fasa; fasa pertama diadakan selepas solat jumaat, untuk semua jemaah jumaat pada hari itu. 800 bungkus makanan disediakan.

Fasa kedua dibuat selepas isyak hari yang sama. Jamuan ini untuk meraikan ahli kariah presint 8. Menu pun hebat; kambing golek bakar 2 ekor, sate, lontong, nasi dagang, pulut kuning, buah-buahan tempatan (daripada penyumbang yang mahu dirahsiakan identitinya) dan kuih muih.

Majlis bertambah seri apabila Y.Bhg Ustazah Zainab, KPPK Jawi Putrajaya turut hadir.

Terima kasih Ustazah.

Sunday, October 11, 2009

Rumah Terbuka Hj Omar



Tn Hj Omar Yaakop, Naib Pengerusi Surau Al-Mizan berkenan menjemput jemaah surau ke rumah beliau pada 10 oktober 2009, selepas Isyak.
Menu utama yang menjadi buruan semenjak zaman berzaman: mee bandung muar kak sal dan kopi 434 muar.
Terima kasih tn hj dan pn hajah.

Majlis Perkahwinan


Antara jemaah surau Al-Mizan yang hadir

Ayah dan Ibu Pengantin


Tuan bilal Surau Al-Mizan, Tn Hj Saleh Yusuf bersama isteri, Pn Hajah Baiyah Ahmad, telah mengadakan majlis perkahwinan untuk anak mereka, Sharafuddin pada 10 Oktober 2009. Majlis telah diadakan di Dewan Melati, Perbadanan Putrajaya. Sharafuddin telah dipasangkan dengan Shahiruni Che Saidi yang berasal dari Negeri Che Siti Wan Kembang.
Semoga Allah memberkati ikatan perkahwinan mereka dan dikurniakan kebahagiaan serta zuriat yang beriman.

Kuliah Subuh Ahad


Bermula minggu ini, 11 oktober 2009, kuliah subuh minggu ke-2 dan ke-4 akan diisi oleh Y.Bhg Us Mohd Hanif bin Ahmad Jahidi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau membuka kitab kuning bertajuk "aljawhar almauhub wa munabbihaat fil qulub", karangan Tuan Guru Syeikh Muhammad Ali Abdur Rahman Al-Kelantani.

Saturday, October 10, 2009

Kenduri Ahli Qaryah



Jemaah Surau Al-Mizan telah dijemput oleh Saudara Rosleem Nordin di P8B/3 untuk kenduri doa selamat, tahlil dan aqiqah pada 9 Okt 2009 selepas isyak.
Terima kasih tuan rumah dan semoga diberkati Allah hendaknya.

Thursday, October 8, 2009

Mesyuarat JK Surau Al-Mizan



Mesyuarat JK Surau Al-Mizan Bil.1/2009 telah diadakan pada 7 Oktober 2009 selepas solat isyak. Antara agenda utama yang dibincangkan adalah jamuan raya, korban dan tabung khairat.
Mesyuarat juga bersetuju untuk menginfaqkan separuh daripada kutipan jumaat depan (9 okt 09) kepada tabung bencana Padang.
Untuk membaca minit mesyuarat, sila klik sini

Sunday, October 4, 2009

Ghazwatul Muraisii' & Kisah Munafiqin


Kuliah sirah subuh ahad 4 Oktober 2009 berkisar mengenai peperangan (ghazwah) Al-Muraisii'. Ghazwah ini juga dikenali Ghazwah Bani Al-Mustaliq.

Dalam peperangan berkenaan, hanya seorang tentera Islam yang syahid, manakala ramai pahlawan Bani Al-Mustaliq, termasuk ketua mereka, Al-Harith bin Dhirar berjaya dibunuh. Puteri Al-Harith, Juwairiyah sendiri telah ditawan. Namun Baginda Rasulullah S.A.W. telah membebaskan Juwairiyah dan seterusnya mengahwininya, lalu tergolonglah dia sebagai ummahatul mukminin.

Dalam peperangan ini, Abdullah bin Ubayy bin Salul, ketua golongan munafiqin cuba memecahkan saff muhajirin dan Ansar. Satu ketika seorang Ansar dan seorang Muhajirin telah bertengkar. Pertelingkahan berlanjutan sehingga kedua-dua mereka menjerit meminta sokongan kumpulan masing-masing.

Abdullah bin Ubayy cuba mengeruhkan suasana dengan menusuk jarum fitnahnya dengan berkata, "Celaka benar muhajirin! Sudahlah mereka menumpang di negeri kita, semakin hari semakin ramai pula. Mereka tak ubah seperti yang pepatah Arab "sammin kalbaka ya'kulka" / (seperti Belanda mendapat tanah).

"demi Allah, jika kita pulang ke Madinah nanti. Aku golongan mulia ini nescaya akan mengusir golongan yang hina dina (Rasulullah S.A.W dan Muhajirin) dari bumi Madinah!"

Zaid bin Arqam telah mendengar kata-kata Abdullah bin Ubayy, lantas terus melaporkannya kepada Rasulullah S.A.W. Umar yang ada bersama pada ketika itu amat marah lalu meminta izin Nabi S.A.W untuk memenggal kepala Abdullah bin Ubayy. Nabi S.A.W menghalang. Nabi tidak mahu fitnah kemudian hari yang mungkin mengatakan bahawa Muhammad S.A.W membunuh sahabatnya.

Abdullah bin Ubayy sendiri, apabila mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W. telah mengetahui tindak tanduknya, tanpa segan silu berjumpa Nabi S.A.W. lantas menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kata-kata fitnah di atas.

Akan tetapi, pada ketika itu, turun ayat 7 dan 8 Surah Al-Munafiqin yang merakamkan kata-katanya itu secara "verbatim"; huruf demi huruf!

Friday, October 2, 2009

Mesyuarat JAWI-JK Surau Jumaat






Mesyuarat AJK Surau Jumaat Sekitar Putrajaya bersama Pihak Pentadbiran JAWI telah diadakan pada 2 okt 2009 di Dewan Syura, JAKIM.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj Che Mat bin Hj Che Ali, Ketua Pengarah JAWI.
Mesyuarat ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan JK Surau Jumaat sekiranya kebenaran solat jumaat ditarik semula.
Bagi surau Al-Mizan, kedudukannya di tengah-tengah kawasan komersil (bank, pasar, medan selera, restoran, sekolah) perlu dipertimbangkan sebelum keputusan menarik semula kebenaran tersebut dikuatkuasakan.
Surau Al-Mizan diwakili oleh Pengerusi, Timbalan dan 7 AJK.

Sunday, September 27, 2009

Skim Bantuan Baitulmal MAIWP



Di mana anda bayar zakat tahun ini? Sekiranya anda bayar di WP KL/Putrajaya, di belakang resit zakat fitrah anda tercatat 26 skim bantuan yang ditawarkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti berikut:

01. Bantuan kewangan bulanan
02. Bantuan dermasiswa
03. Bantuan perniagaan
04. Bantuan deposit sewa beli teksi
05. Bantuan membaiki rumah/ pendahuluan membeli rumah
06. Bantuan ibnu sabil / tambang
07. Bantuan segera / kecemasan
08. Bantuan riqab
09. Bantuan am pelajaran
10. Bantuan pelajaran IPT
11. Bantuan kepada agensi kebajikan
12. Bantuan ramadan
13. Bantuan perubatan
14. Bantuan perkahwinan
15. Bantuan sewa rumah
16. Bantuan menyelesaikan hutang
17. Bantuan musibah
18. Skim bantuan tuisyen
19. Skim bantuan galakan hafaz al-Quran
20. Skim bantuan guaman syar'ie
21. Skim biasiswa pelajaran (insentif khas pelajar cemerlang)
22. Skim bantuan deposit van/bas sekolah
23. Bantuan motorsikal roda tiga (OKU)
24. Bantuan pelajaran kolej kejururawatan PUSRAWI
25. Bantuan pertanian
26. Bantuan kecemasan persekolahan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MAIWP 03-26175222

Thursday, September 17, 2009

Majlis Khatam Al-Quran






Majlis Khatam Al-Quran sempena Ramadan 1430H peringkat Surau Al-Mizan telah diadakan pada 16 September 2009 bersamaan 26 Ramadan 1430H (rabu makam khamis). Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato' Hj Ahmad Phesal Hj Talib, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, merangkap Penasihat JK Surau Al-Mizan.
Seramai 68 peserta terdiri daripada muslimin, muslimat dan kanak-kanak telah menyertai kumpulan tadarus yang bermula semenjak awal Ramadan lagi.
Dalam majlis yang sama, cenderamata penghargaan juga telah disampaikan kepada AJK dan Pegawai Agama surau. Beberapa individu yang sering memberi bantuan dalam mengimarahkan surau ini juga tidak dilupakan.

Sunday, September 13, 2009

Tadarus Diteruskan



Aktiviti tadarus sempena ramadan diteruskan.
Kian menghampiri titik akhir.
Majlis khatam dijadualkan pada 16 September 2009.

Bubur Lambuk Al-Mizan Putrajaya


Setiap sabtu sepanjang ramadan, ada aktiviti istimewa di surau; bubur lambuk.
Telah menjadi kebiasaan surau ini sejak tahun-tahun dulu lagi.
Siap masak sebelum zohor. jemaah boleh ambil selepas zohor.