Palestin Perjuangan Kita

Wednesday, December 16, 2009

Ceramah Us Mohamad Nidzam Sempena Maal Hijrah


Sempena sambutan Maal Hijrah, Surau Al-Mizan Putrajaya telah menjemput Y.bhg Ustaz Mohamad Nidzam Abdul Kadir (UIAM) untuk menyampaikan ceramah.

Us Nidzam adalah penulis buku terkenal "Fiqh Berinteraksi Dengan Non Muslim".

Dalam ceramah beliau, Us Nidzam telah memberikan 3 aspek hijrah yang jarang disentuh dalam mana-mana ceramah sempena Maal Hijrah:

a. Hijrah ilmu - hijrah ini mengajak kita mengetahui dalil/nas bagi setiap amalan ibadat yang dikerjakan, dan bukan sekadar ikut-ikutan semata-mata.

b. Hijrah amal - kita perlu mengamalkan ilmu yang ada. Janganlah kita sekadar belajar dan tahu, tetapi tidak beramal. Kita juga perlu menyusun keutamaan ibadah daripada wajib, sunat dan harus. Jangan pula kita bersusah payah mengerjakan ibadah sunat, dalam masa yang sama kita meninggalkan yang wajib. Ataupun kita bersusah payah mengerjakan ibadah harus yang bercampur-baur dengan dokongan adat, tetapi dalam masa yang sama meringankan/meninggalkan amalan sunnah yang memang bertunjangkan hadis-hadis sahih.

c. Hijrah akhlak - kita perlu matang dalam menerima perbezaan pandangan dalam agama. Ulama terdahulu sentiasa berlapang dada dalam menerima pendapat imam-imam yang lain. Ini kerana mereka memahami bahawa setiap pendapat/fatwa yang dikeluarkan adalah berdasarkan dalil.


Kisah kematangan ilmu imam/ulama terdahulu:

Kisah 1
Dalam mazhab Imam Syafie, qunut adalah sunat. Jika tidak qunut, sunat pula diganti dengan sujud sahwi. Satu ketika imam Syafie mengimamkan solat subuh di salah sebuah bandar yang disinggahinya. Imam Syafie tidak membaca qunut. Sebelum salam, dia tidak pula sujud sahwi. Hairan dengan tindakannya, para jemaahpun bertanya. Imam Syafie menunjukkan ke arah kubur Imam Abu Hanifah dan berkata, "aku tidak qunut dan sujud sahwi sebagai penghormatanku kepada pemilik kubur ini".

Dalam Mazhab Hanafi, qunut tidak disunatkan dalam solat subuh.

Kisah 2
Apabila khalifah mahu menjadikan kitab Almuwatto' sebagai sumber perundangan rasmi selepas Al-quran, Imam Malik merayu kepada Khalifah agar tidak melaksanakannya. Beliau menyatakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. bertebaran di muka bumi dan pendapat mereka berbeza-beza dalam perkara-perkara furu'. Dalam masa yang sama, mereka semua berada atas hidayah Allah kerana masing-masing "berguru" secara terus dengan Rasulullah S.A.W.

Sememangnya perbezaan pendapat/pandangan dikalangan para sahabat memberikan kita rahmat yang tidak terhingga. Kita boleh memilih mana-mana pendapat yang paling sesuai dengan keadaan dan kemampuan diri kita.

Kisah 3
Semasa Imam Hassan Al-Banna memasuki masjid untuk solat, beliau mendapati muazzin (bilal) sedang bertengar dengan seorang makmum. Puncanya adalah simuazzin berselawat semasa sebelum dan selepas solat. Simakmum ini pula mendakwa perbuatan itu adalah bid'ah. Imam Al-Banna terus pergi ke saf pertama lantas melaungkan iqamah. Kelam kabut jemaah masuk ke saf.

Selesai solat, Imam Hassan Al-Banna menerangkan bahawa pertelagahan sesama muslim adalah haram, sedangkan solat itu wajib. Begitulah kematangan ilmu Imam Hassan Al-Banna, matang juga dalam fiqh awlawiyyat.