Palestin Perjuangan Kita

Sunday, September 27, 2009

Skim Bantuan Baitulmal MAIWP



Di mana anda bayar zakat tahun ini? Sekiranya anda bayar di WP KL/Putrajaya, di belakang resit zakat fitrah anda tercatat 26 skim bantuan yang ditawarkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti berikut:

01. Bantuan kewangan bulanan
02. Bantuan dermasiswa
03. Bantuan perniagaan
04. Bantuan deposit sewa beli teksi
05. Bantuan membaiki rumah/ pendahuluan membeli rumah
06. Bantuan ibnu sabil / tambang
07. Bantuan segera / kecemasan
08. Bantuan riqab
09. Bantuan am pelajaran
10. Bantuan pelajaran IPT
11. Bantuan kepada agensi kebajikan
12. Bantuan ramadan
13. Bantuan perubatan
14. Bantuan perkahwinan
15. Bantuan sewa rumah
16. Bantuan menyelesaikan hutang
17. Bantuan musibah
18. Skim bantuan tuisyen
19. Skim bantuan galakan hafaz al-Quran
20. Skim bantuan guaman syar'ie
21. Skim biasiswa pelajaran (insentif khas pelajar cemerlang)
22. Skim bantuan deposit van/bas sekolah
23. Bantuan motorsikal roda tiga (OKU)
24. Bantuan pelajaran kolej kejururawatan PUSRAWI
25. Bantuan pertanian
26. Bantuan kecemasan persekolahan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MAIWP 03-26175222

Thursday, September 17, 2009

Majlis Khatam Al-Quran






Majlis Khatam Al-Quran sempena Ramadan 1430H peringkat Surau Al-Mizan telah diadakan pada 16 September 2009 bersamaan 26 Ramadan 1430H (rabu makam khamis). Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato' Hj Ahmad Phesal Hj Talib, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, merangkap Penasihat JK Surau Al-Mizan.
Seramai 68 peserta terdiri daripada muslimin, muslimat dan kanak-kanak telah menyertai kumpulan tadarus yang bermula semenjak awal Ramadan lagi.
Dalam majlis yang sama, cenderamata penghargaan juga telah disampaikan kepada AJK dan Pegawai Agama surau. Beberapa individu yang sering memberi bantuan dalam mengimarahkan surau ini juga tidak dilupakan.

Sunday, September 13, 2009

Tadarus Diteruskan



Aktiviti tadarus sempena ramadan diteruskan.
Kian menghampiri titik akhir.
Majlis khatam dijadualkan pada 16 September 2009.

Bubur Lambuk Al-Mizan Putrajaya


Setiap sabtu sepanjang ramadan, ada aktiviti istimewa di surau; bubur lambuk.
Telah menjadi kebiasaan surau ini sejak tahun-tahun dulu lagi.
Siap masak sebelum zohor. jemaah boleh ambil selepas zohor.

Saturday, September 12, 2009

Tazkirah Subuh : Doa


Tazkirah subuh pada 12 September yang disampaikan oleh Y.Bhg Us. Izhar, pensyarah UIAM menyentuh mengenai tajuk Doa.

Firman Allah S.W.T bermaksud "Dan berdoalah kepada-Ku (Allah), nescaya Aku akan perkenankan doamu"

Jenis doa menurut Imam Al-Ghazali:
  1. Duaa'ul Masalah : Doa yang biasa dilakukan apabila ditimpa masalah atau memohon sesuatu hajat.
  2. Duaa'ul Ibadah : Doa sepanjang masa kepada Allah sebagai ibadah. Semua ibadah adalah termasuk dalam doa ibadah.

Fadilat Doa:
  1. bukti ketaatan kepada Allah
  2. menghilangkan takabbur dalam hati
  3. menjadi ibadah
  4. menenangkan hati
  5. menjauhkan kemurkaan Allah
  6. menolak bala

Syarat doa yang diterima:
  1. yakin bahawa Allah menerima doa
  2. memohon hanya kepada Allah dan bukan kepada selainnya
  3. hanya berdoa untuk kebaikan diri dan orang lain. dilarang mendoakan keburukan ke atas orang lain (kecuali musuh Allah)
  4. baik sangka dengan Allah, bahawa Allah pasti akan memakbulkan doa kita sama ada secara segera, ditangguhkan ke satu waktu tertentu, ataupun diberikannya semasa di syurga nanti.
  5. menghadirkan hati
  6. memelihara taqwa (menjaga akhlak, makanan, menjauhkan perbuatan haram dsb)
  7. menzahirkan kekerdilan diri di hadapan Allah semasa berdoa.

Adab berdoa:
  1. Mula dengan memuji Allah
  2. Selawat ke atas Rasulullah S.A.W
  3. Bersungguh-sungguh
  4. Tenang dan tidak gopoh gapah
  5. Mengulang 3 kali
  6. Mengadap kiblat
  7. mengangkat tangan
  8. berwuduk
  9. cuba menangis
  10. rendahkan suara

Ceramah Nuzul Quran



Ceremah sempena peristiwa Nuzul Al-Quran telah diadakan di Surau Al-Mizan pada 9 September 2009. Penceramah jemputan adalah Y.Bhg. Profesor Madya Dr Zulkifly Mohamad Al-Bakri, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PM Dr. Zulkifly memulakan ceramahnya dengan menceritakan peristiwa turunnya wahyu pertama ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan di Gua Hira'. Kisah ini beliau rujuk daripada Tafsir Al-Maraghi.

Pengajaran daripada kisah turunnya wahyu pertama:

  1. Untuk memimpin manusia, kematangan adalah unsur penting. Tidak boleh sekadar semangat sahaja. Kerana itu, Nabi Muhammad menerima wahyu pertama yang menjadi tanda perlantikannya sebagai Pesuruh Allah pada usia matang 40 tahun.
  2. Peristiwa Nabi S.A.W beruzlah di Gua Hira', tidak bermakna mengasingkan diri daripada masyarakat menjadi tuntutan utama kepada umat Islam. Sebaliknya umat Islam amat dituntut bergaul dalam masyarakat dan melaksanakan amar makruf nahi munkar.
  3. Umat Islam perlu menjana pemikiran untuk memajukan dan meninggikan martabat agama. Elakkan: a)pemikiran yang mati dan b)pemikiran yang mematikan.
  4. Peristiwa Nabi S.A.W dipeluk Jibril sehingga sesak nafas Baginda sebanyak 3 kali menunjukkan bahawa menuntut ilmu mestilah serius, bersungguh-sungguh dan tidak boleh secara santai-santai.
  5. Keistimewaan Nabi S.A.W. tidak tahu membaca membawa hikmah yang besar. Ini menutup ruang untuk para musuh islam dahulu dan sekarang mendakwa agama Islam ini adalah hasil janaan pemikiran Baginda hasil pembacaan Baginda terhadap kitab-kitab terdahulu.
  6. Umat Islam perlu menghidupkan semula budaya "IQRA'" dalam kehidupan sekiranya ingin berjaya dan dipandang mulia oleh manusia. Budaya ini menjadi kunci kebahagiaan dunia dan akhirat.


Sunday, September 6, 2009

Sujud Tilawah



Semasa bertadarus, banyak ayat sajdah yang kita temui. Apabila sampai sahaja pada ayat sajdah, semua ahli tadarus melakukan sujud sajdah (atau nama lainnya sujud tilawah).

Penerangan mengenai sujud tilawah yang diambil daripada www.islamweb.net adalah seperti berikut:

Adapun sujud tilawah itu satu kali sujud, sunat dilakukan ketika membaca salah satu ayat sajdah. Apabila tiba ke ayat tersebut, disunatkan sujud, sama ada dalam solat ataupun luar solat. Sebahagian ulama mensyaratkan berwuduk, manakala sebahagian lagi tidak mensyaratkannya. Punca khilaf adalah; adakah sujud tilawah dikira solat ataupun bukan solat. Ulama yang mengatakan ianya solat maka mereka mensyaratkan wuduk. Sebaliknya ulama yang mengatakan ianya bukan solat, maka mereka tidak mensyaratkan wuduk.

Kifiatnya: Dengan cara terus sujud dan membaca bacaan sujud yang ma’thur:

"سجد وجهي للذي خلقه وصوره وشق سمعه وبصره بحوله وقوته فتبارك الله أحسن الخالقين"

Pelaku membaca takbir semasa turun untuk sujud dan semasa naik daripada sujud (takbir intiqal) tanpa memberi salam.


Tazkirah Subuh : Al-Quran Panduan Sempurna



Subuh Sabtu 8 Ramadan membawakan ceramah oleh Y.Bhg Ustaz Khairul Anuar mengenai Al-Quran Panduan Sempurna.
Penceramah mengulas mengenai penurunan Al-Quran pada bulan Ramadan, yang menjadi hidayah dan panduan kepada seluruh alam, terutamanya orang-orang yang bertaqwa.
Penceramah seterusnya mengajak para jemaah menghayati Al-Quran, mengamalkan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangan Allah yang termaktub dalam Al-Quran.
Ustaz Khairul juga mengingatkan para jemaah agar mengambil keseluruhan Al-Quran sebagai panduan, dan bukan sebahagian-sebahagian.