Palestin Perjuangan Kita

Saturday, November 28, 2009

Baraan Takbir Bermula!





Baraan Takbir terus dimulakan pada malam hari raya selepas isyak. Pada malam hari raya, takbir dari rumah ke rumah ini difokuskan kepada warga apartment. Pada keesokan malamnya (hari raya 1), kawasan P8B pula yang menjadi tumpuan. Sebanyak 7 buah rumah telah diziarahi pada malam berkenaan. Malam hari raya ke-2, rombongan takbir telah bertandang ke P8E dan P9.
Di setiap rumah yang disinggahi, tuan imam akan mengepalai takbir dan disusuli dengan doa selamat untuk seisi keluarga.
Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan silaturrahim antara sesama ahli kariah dan insya-Allah akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Jamuan Aidil Adha



Surau Al-Mizan telah mengadakan jamuan hari raya aidil adha untuk semua jemaah jumaat 10 Zulhijjah 1430H. Jamuan diadakan sejurus selepas solat jumaat.
Semua jemaah jumaat berpeluang menikmati hidangan daging korban, lembu dan kambing, yang baru sahaja dikorbankan pada sebelah pagi.
Alhamdulillah dengan izin Allah dan seterusnya kerjasama erat semua anggota kerja korban, jamuan berjaya disediakan dengan sempurna.

Ibadah Korban Kariah Surau Al-Mizan P8









Ibadah korban Surau Al-Mizan P8 telah diadakan sejurus selepas solat hari raya. Walaupun hari jumaat dan masa yang terhad, ibadah ini telah dapat dijalankan dengan sempurna.
Sebanyak 4 ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan pada hari tersebut. Proses penyembelihan, melapah dan pembahagian daging korban berjalan lancar berkat gotong- royong ahli kariah, terutamanya warga apartment lokasi korban diadakan.
Selain dibahagikan secara mentah kepada penama korban dan penduduk kariah, daging korban juga dihantar ke Rumah Anak Yatim Darul Fuqaha'.
Sebahagian daging pula dimasak dan dijamu kepada semua jemaah selesai sahaja solat jumaat.
Surau Al-Mizan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan ibadah ini.

Selamat Hari Raya Aidil Adha



Hari Raya Aidil Adha 1430 H telah ditetapkan pada 27 November 2009, bersamaan hari Jumaat 10 Zulhijjah 1430H.
Khutbah Hari Raya telah disampaikan oleh Imam 1 Surau Al-Mizan Presint 8, Y.Bhg. Ustaz Shahrudin bin Zaini.
Seramai 200 jemaah terdiri daripada ahli kariah P8 telah menunaikan solat sunat hari raya yang bermula jam 8.30 pagi.

Saturday, November 21, 2009

Anugerah Surau Idaman Putrajaya



JAWI Putrajaya dengan kerjasama Surau Al-Mizan Presint 8 Putrajaya telah menganjurkan Anugerah Surau Idaman untuk surau-surau Putrajaya pada 21 November 2009.
Majlis telah diadakan selepas maghrib di Surau Al-Mizan Presint 8. Majlis dirasmikan oleh Y.Bhg. Tn Hj Md. Ali bin Sarbini, Imam Besar Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin.
Seramai 200 orang tetamu dari surau-surau seluruh Putrajaya telah bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.

Keputusan penerima anugerah adalah seperti berikut:
Tempat Pertama : Surau Putra Al-Amin
Tempat Kedua : Surau Ar-Rahman
Tempat Ketiga : Surau Al-Istiqlal
Saguhati 1 : Surau Al-Furqan
Saguhati 2 : Surau Ar-Raudhah
Saguhati 3 : Surau Al-Mizan

Tahniah kepada semua penerima anugerah.