Palestin Perjuangan Kita

Monday, April 5, 2010

Misi Memancing Siri 1 : Bersia

Pada 3 & 4 April, 4 orang AJK surau Al-Mizan telah menjalankan rehlah memancing di Sungai Air Rengat berhampiran Empangan Bersia, Grik, Perak. Ahli rehlah adalah Tn Hj Saleh (Bilal), Tn Hj Rosli (Bendahari), Tn Hj Nor Azam (Setiausaha) dan En Kamar (AJK).

Perjalanan dari Putrajaya bermula jam 2.25 pagi hari sabtu 3 April. Seperti yang dijadualkan, kami tiba di Lenggong tepat jam 5.45 pagi untuk solat subuh berjemaah di Masjid Jami' Lenggong.

Perjalanan dari Lenggong ke Grik hanya mengambil masa 20 minit. Di Grik, kami berjanji temu dengan "tuan rumah", En. Din dan En. Nidzam. Kami dibawa menaiki 4x4 menyusuri denai Bersia untuk tiba ke pondok penginapan. Untuk ke seberang, sebuah bot disediakan. Juragannya; tok batin suku Temiar yang mana tapak inap kami berada di atas tanah mereka.

memancing bermula sebaik sahaja barang-barang disusun di dalam pondok. Pagi itu kami hanya memancing dari tebing. Selepas zohor barulah kami menaiki bot untuk memancing di tengah sungai.

En Kamar, yang sememangnya orang Grik amat mahir dalam selok-belok sungai. Beliau secara solo memasang taut di beberapa tempat strategik sepanjang tebing. Hasilnya seekor toman telah melekat pada salah satu mata taut pada malam itu.

Keesokan harinya, aktiviti memancing dari dalam bot dipergiatkan bermula daripada pagi hinggalah ke petang. Hasil yang paling memberangsangkan adalah kejayaan Hj Rosli mendaratkan seekor toman seberat 450 gram. Amat teruja dengan tangkapannya, sehinggakan beliau tersilap langkah lalu terjerumus ke dalam air. Namun bersama dengan En Kamar, toman itu tetap berjaya dinaikkan, alhamdulillah.

Petang ahad kami bertolak pulang ke Putrajaya. Ikan yang kami tangkap di'top-up' oleh En. Din dengan ikan hasil jala dan pukat. Kami juga dibekalkan ubi seberat kurang lebih 20 kg oleh kaum asli di situ.

Alhamdulillah. Sangat-sangat menyeronokkan.

Misi akan datang:

Membawa bersama ahli jemaah surau Al-Mizan lain untuk melakukan kerja dakwah bersama kaum asli kawasan tersebut. Dengan memberi fokus kepada anak-anak yang berada dalam lingkungan usia sekolah rendah, kami berazam memberikan pemdedahan dari aspek aqidah dan ibadah asas, terutamanya ibadah solat.

Insya-Allah aktiviti ini dijadualkan pada bulan julai atau ogos tahun 2010. Sesiapa yang berminat menyertai boleh menghubungi kami melalui emel almizanputrajaya@blogspot.com.