Palestin Perjuangan Kita

Wednesday, August 26, 2009

Ceramah Ramadan 2 : Kursus Ramadan


Jika subuh sebelumnya, para jemaah diajak menghambat pahala "Akademi" Ramadan, kuliah kedua yang disampaikan oleh Us. Nor Azam Abdullah dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia mengajak jemaah melihat dari sudut kesan ramadan ke atas ibadah kita, khasnya selepas ramadan.
Dalam membahaskan bagaimana untuk mengekalkan semangat dan ibadah ramadan, beliau mencadangkan beberapa langkah berikut:
  1. Menganggap ramadan ini umpama kursus.
  2. Menetapkan ibadah yang ingin diteruskan selepas ramadan.
  3. Menetapkan jadual dan kekerapan ibadah yang dikenal pasti tadi.
  4. Istiqamah.

Untuk lihat persembahan Power Point ceramah, sila klik di sini:

Kuliah Subuh Ramadan : Akademi Ramadan


Ceramah subuh pertama Ramadan disampaikan oleh Y.Bhg. Us. Khairuddin Aman Razali At-Takiri dari Darul Fuqaha.
Beliau mengajak jemaah untuk mengambil peluang beramal sebanyak-banyaknya dalam bulan ramadan, memandangkan pahala dan ganjaran yang begitu besar yang telah dijanjikan oleh Allah dalam bulan ini.
Tamsilan ustaz Khairuddin cukup mudah tetapi amat berkesan. Kenapa orang Malaysia sanggup buat apa sahaja untuk masuk akademi-akademi dalam TV sekarang? Ada Akademi Fantasia, Mentor, Akademi Nasyid, Akademi Al-Quran, dll.
Salah satu sebab utama adalah ganjaran yang ditawarkan, dan kemasyhuran yang menanti selepas itu. Ganjarannya begitu lumayan, sehinggakan program yang ada unsur percampuran lelaki perempuan yang jelas tidak menepati kehendak syariatpun, ramai yang ingin menyertainya.
"Akademi" Ramadan pastinya lebih hebat. Kerana ganjarannya bukan dijanjikan oleh manusia. Allah, Tuhan kepada manusia yang menjanjikannya.
Jom tambah amalan bulan puasa ini!

Sunday, August 23, 2009

Tadarus Ramadan Bermula



Tadarus Al-Quran telah bermula sejak malam pertama ramadan. Tadarus dibahagikan kepada tiga kumpulan; lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak.
Sesi tadarus dijalankan selepas witir.

Ceramah Sempena Ramadan


Ceramah sempena Ramadan alMubarak anjuran surau Almizan telah diadakan pada 19 Ogos 2009 selepas selesai solat maghrib. Penceramah jemputan, PM Dr Kamaruzaman Yusuff dari UKM, telah menyampaikan kuliah yang bertajuk "Puasa yang diterima Allah".

Tuesday, August 18, 2009

Mesyuarat Khas Sempena Ramadan



Sempena menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak, JK Surau Almizan telah mengadakan mesyuarat khas pada 17 Ogos 2009 selepas isyak.
Mesyuarat membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang ramadan. Antaranya, tazkirah dan khutbah jumaat, kuliah subuh, ceramah sempena awal ramadan, ceramah sempena nuzul quran, tadarus, memasak bubur lambuk dan lain-lain lagi.

Sila klik sini untuk membaca Minit Mesyuarat.

Sunday, August 16, 2009

Kenduri Doa Selamat


Majlis bacaan Yasin dan doa selamat telah diadakan pada hari Ahad 16 Ogos 2009. Jemputan datangnya daripada Tn Hj Osman Presint 8A.
Selain daripada kesyukuran ulang tahun kelahiran cucu, doa juga dipanjatakan agar Allah S.W.T melindungi kita semua daripada bala dan malapetaka, khasnya influenza A H1N1.

Mesyuarat Agung Surau Al-Mizan





Mesyuarat Agung Surau Al-Mizan Presint 8 Putrajaya telah diadakan pada 15 Ogos 2009 bersamaan 24 Syaaban 1430. Mesyuarat bertempat di Surau Al-Mizan Presint 8.

Pelbagai perkara telah dibincangkan. Antara yang paling menarik adalah keputusan mesyuarat untuk mewujudkan Badan Khairat Kematian Qaryah Surau Al-Mizan.

Adalah diharapkan dengan berjalannya Badan Khairat ini, kebajikan ahli Qaryah akan lebih mendapat perhatian insya-Allah.

Untuk membaca minit mesyuarat, sila klik di sini:

Sunday, August 2, 2009

Kenduri Arwah & Doa Selamat



Pada hari Ahad 2 Ogos 2009, jemaah surau Al-Mizan telah dijemput menghadiri kenduri doa selamat dan tahlil arwah. Jemputan datangnya daripada salah seorang jemaah, Tn Hj Abdul Fatah.

Selain tahlil arwah, doa kesyukuran juga diadakan bersempena dengan anakanda Tn Hj Abdul Fatah yang akan menyambung pelajarannya di Indiana University, Amerika Syarikat.

Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat diketuai oleh Tn Hj Idris Mohamad, Imam Surau Al-Mizan.

Pada sabtu malam minggu juga ada jemputan kenduri daripada en Nur Irwan di Jalan P8B/2. Beliau baru masuk rumah, setelah berpindah dari Johor. Selamat menjadi jemaah Al-Mizan.